Thursday 16 February 2012

14 Ogos - LGM Hasilkan Klon Getah 1Malaysia

 
LEMBAGA Getah Malaysia (LGM) memperkenalkan klon benih getah baru berpotensi untuk penanaman secara komersial serta menghasilkan pokok getah yang bukan saja menghasilkan susu getah yang tinggi, tetapi juga bermutu untuk industri perabot.

Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr Kamarul Baharain Basir, berkata klon siri RRIM30001 yang juga dikenali sebagai ‘Klon 1Malaysia’ itu dihasilkan menerusi pembakaan getah menggunakan kacukan antara benih Brazil dan tempatan.

Pokok getah yang ditanam menggunakan klon RRIM30001 boleh ditoreh dalam empat tahun selepas ditanam dan menghasilkan purata susu getah melebihi 3,000 kilogram sehektar setahun.

Benih baru itu juga mampu menghasilkan batang pokok yang lebih besar dan lurus dengan isi padu kayu melebihi dua meter padu sepokok selepas 15 tahun ditanam, berbanding 1.4 hingga 1.6 meter padu ketika ini.

Katanya, baka baru itu melalui tempoh penyelidikan dan tanaman percubaan 25 tahun membabitkan keluasan ladang 100 hektar di beberapa lokasi di seluruh negara.

“Kami yakin klon getah ini mampu menarik pekebun kecil menceburi industri tanaman getah, sekali gus meningkatkan bilangan ladang getah daripada 1.247 juta hektar yang ada ketika ini,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran klon baru itu oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Serdang, Selangor, semalam.

Pelancaran diadakan sempena perasmian Pameran dan Persidangan Komoditi Antarabangsa Malaysia (Miccos) anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang.

Hadir sama, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Bernard Dompok.

Kamarul Baharain berkata, LGM mampu menghasilkan sehingga sejuta benih getah atau ranting mata tunas setahun bagi membolehkan ia ditanam secara meluas di negara ini.

Pengedaran benih getah baru itu, katanya, akan dilakukan menerusi lebih 100 syarikat yang diberi lesen oleh LGM.

Sementara itu, Dompok berkata kementeriannya memberi tumpuan untuk memperkukuhkan daya saing sektor perladangan dan komoditi, khususnya sawit, getah, kayu kayan, koko, tembakau dan lada.

Mengenai Miccos 2009 yang bertemakan ‘Komoditi Adalah Satu Industri’, beliau menjangkakan pameran yang disertai 227 agensi, syarikat swasta dan industri itu mampu menarik 50,000 pengunjung sepanjang penganjuran empat hari sehingga Ahad.


Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment